Pandelela-Rinong,ratu terjun Malaysia telah memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform di Sukan Olimpik 2012.
Ratu terjun kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong tidak menghampakan
sandaran yang diletakkan di atas bahunya apabila merangkul pingat gangsa
dalam acara akhir 10m platform wanita pada Sukan Olimpik 2012, lewat
malam ini.
Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu menceriakan kontinjen Malaysia,
tiga hari sebelum temasya Sukan Olimpik melabuhkan tirainya, dengan
menghadiahkan pingat kedua negara selepas sebutir perak oleh Datuk Lee
Chong Wei dalam acara badminton, Ahad lalu.
Selepas wakil tunggal Heidi Gan memperoleh tempat ke-16 dalam acara
renang maraton 10km laut terbuka di Tasik Serpentine di Hyde Park pada
sebelah pagi, misi menambah pingat kedua tanpa mengira warna kelihatan
mustahil.
Bagaimanapun, Pandelela, yang diberi tanggungjawab membawa bendera
Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen pada majlis perasmian Sukan
Olimpik 2012, berjaya memecah kebuntuan memburu pingat kedua negara.
Dia mengumpul 359.20 mata untuk meraih gangsa di belakang pemenang
pingat emas Chen Ruolin dari China dan pemenang pingat perak, Brittany
Broben dari Australia.Pencapaian Pandelela itu akhirnya memecah
dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak
dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan
terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.
Kejayaan Pandelela ini juga, sehingga kini, menyamai pencapaian
kontinjen negara daripada edisi 1996 Atlanta, Amerika Syarikat, yang
membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada ratu terjun negara.